Thursday, January 21, 2010

Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya terletak di KM. 8, Jalan Tanjung Laboh.
Lokasi tersebut terletak di Mukim Minyak Beku.

Projek pembinaan sekolah ini diuruskan oleh Syarikat Ummi Ross dan kemudian ditukar kepada Syarikat Urus Budi. Dewan Perniagaan Melayu Melaka telah terpilih sebagai kontraktor utama dalam pembinaan sekolah.

Projek yang menelan belanja RM 13.2 juta ini mula dibina pada 24 Jun 1999 dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Jun 2001. Namun demikian projek ini tertangguh sehingga boleh digunakan pada awal sesi persekolahan 2003.

Pada peringkat permulaan En. Radzali bin Ahmad telah dilantik sebagai penyelaras perabot pada 15 Oktober 2000. Beliau bertanggungjawab untuk menyelaraskan kemasukan perabot-perabot baru untuk keperluan sekolah ini.

Pada 29 April 2002, Syarikat Cratex (M) merupakan syarikat pertama sekali menghantar barang perabot berupa kerusi plastik murid dan tetamu.

Pada Tahun 2003 perintis pertama pelajar sekolah ini seramai 490 orang pelajar terdiri daripada pelajar peralihan hingga tingkatan 2 sahaja dengan 22 orang tenaga pengajar disokong oleh 5 orang kakitangan sokongan. Mesyuarat pertama pembentukan Ahli Jawatankuasa telah diadakan di bilik guru sekolah ini pada 23 Disember 2002 dan dihadiri seramai 20 orang guru.

Pada 31 Disember 2002 pihak sekolah telah mengadakan satu majlis tahlil dan doa selamat sempena pembukaan sekolah ini. Para jemputan terdiri daripada rombongan PPD Batu Pahat, Naib Kadi Mk.9, Ketua Kampung dan wakil penduduk dari taman perumahan di sekitar sekolah ini.

Pendaftaran murid pertama kali diadakan pada 02 Januari 2003 dan diikuti gotong-royong guru, kakitangan dan murid sekolah membersih dan menceriakan sekolah pada 03 Januari 2003.

Sekolah ini dibuka kepada pelajar pada 6 Januari 2003. En. Abd. Wahab bin Sungip Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah hadir pada hari tersebut. Sekolah ini secara rasminya menerima Pengetua pertama iaitu Pn. Hjh. Noorsiah binti Mashod apabila beliau melaporkan diri bertugas mulai 16 Jun 2003 dibantu oleh 3 orang guru penolong kanan iaitu En. Radzali Bin Ahmad sebagai GPK pentadbiran, En Chew Choi Fatt sebagai GPK HEM dan Tn Haji Mohd Razib Bin Arpan sebagai GPK Ko Kurikulum.

Sehingga tahun 2009 pelajar sekolah ini telah mencecah 1316 orang pelajar dengan 88 orang guru dan dibantu oleh 13 orang staff sokongan. Seramai 3 orang pengetua telah menerajui sekolah ini iaitu Pn Hjh Noorsiah Binti Mashod dari tahun 2003 hingga 2007, Pn Asmah Binti Markom dari tahun 2007 hingga akhir 2008 dan En Abd. Rashid bin Sulaiman mulai awal tahun 2009 hingga kini. Sekolah yang serba lengkap mengandungi 30 bilik darjah,blok pentadbiran, bengkel kemahiran hidup dan teknologi kejuruteraan, makmal sains, surau, dan kantin.